112 penagih dadah ditahan di sekitar KL – AADK

Seramai 112 individu ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan yang digerakkan di sekitar ibu kota Kuala Lumpur pada tengah malam Rabu.
Menurut Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, daripada jumlah tersebut 110 orang disahkan positif dadah berdasarkan ujian saringan urin.
Pecahan bahan dadah yang dikesan paling banyak ialah Methamphetamine (syabu) dengan 77 orang atau 70%, diikuti heroin (22 orang), ganja (8 orang) dan benzodiazepine (5 orang).
Operasi itu melibatkan seramai 23 pegawai dan 54 anggota daripada lima AADK Daerah iaitu Dang Wangi, Sentul, Brickfields, Cheras dan Labuan.
Antara lokasi tumpuan operasi adalah “Port Imbi”, tempat penagihan dadah yang dikenal pasti aktif sejak tahun 2023.
Mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang melibatkan 105 lelaki dan 5 wanita.