2 anggota tentera ditahan cuba curi lembu di Jasin

Dua anggota tentera berusia 26 tahun ditahan selepas dipercayai cuba mencuri lembu di sebuah kandang di Simpang Bekoh, Jasin, Melaka awal pagi Sabtu lalu.
Menurut polis Jasin, kedua-dua suspek menceroboh kandang lembu di kawasan ladang di Kampung Sembani sekitar jam 1 pagi. Salah seorang daripadanya dilihat cuba masuk ke kandang, manakala seorang lagi menunggu dalam sebuah kereta Proton Persona.
Tindakan mereka disedari pemilik kandang, menyebabkan suspek cuba melarikan diri. Ketika dikejar oleh penduduk kampung, kenderaan mereka terbabas dan merempuh tebing sungai. Kedua-duanya meninggalkan kereta dan melarikan diri ke kawasan semak.
Bagaimanapun, mereka akhirnya menyerah diri kepada pihak polis pada petang hari yang sama dan terus ditahan. Polis memaklumkan bahawa permohonan reman akan dibuat hari ini bagi melengkapkan siasatan.