2 lelaki cedera dalam serangan parang & besi di luar kelab malam Brickfields

KUALA LUMPUR, 10 Ogos –
Dua lelaki cedera selepas terlibat dalam pergaduhan dengan dua individu bersenjatakan parang dan besi di luar sebuah kelab malam di Jalan Stesen Sentral, Brickfields.
Dalam kejadian awal pagi Sabtu yang kini tular di media sosial, polis sedang memburu dua suspek berusia sekitar 30-an.
Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata kedua-dua suspek telah dikenal pasti, dan menasihatkan mereka supaya menyerah diri bagi membantu siasatan.
Pergaduhan bermula apabila mangsa pertama bertengkar dengan suspek pertama di tepi jalan berhampiran kelab malam tersebut. Tidak lama kemudian, suspek kedua tiba bersama besi dan parang sebelum menyerang mangsa.
Mangsa kedua turut diserang selepas itu. Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri, manakala kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
Rakaman berdurasi 26 saat yang memaparkan detik serangan itu tular di media sosial, dipercayai dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian.