28 laluan SmartLane diaktifkan menjelang Aidilfitri – PLUS

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik sehingga 2.2 juta kenderaan sehari menjelang sambutan Aidilfitri pada 31 Mac 2025.
Bagi menguruskan aliran trafik yang meningkat, PLUS akan mengaktifkan 28 laluan SmartLane di lokasi strategik sepanjang lebuh raya.
Pengaktifan SmartLane melibatkan pembukaan sementara lorong kecemasan di lokasi-lokasi tertentu yang kritikal di lebuh raya bagi melancarkan aliran trafik.
Selain itu, PLUS akan melaksanakan larangan terhadap kenderaan berat dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan bagi mengurangkan kesesakan.
Pengguna lebuh raya disarankan merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan oleh PLUS untuk memastikan perjalanan yang lebih lancar.
PLUS juga telah menaik taraf 59 lokasi tandas di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Hentian Sebelah serta Plaza Tol sejak tahun lalu untuk meningkatkan kemudahan kepada pengguna.