300 peserta sertai Kejohanan Silambam Kebangsaan Piala Tan Sri Vigneswaran

Seramai 300 peserta dari 12 negeri bakal berentap dalam Kejohanan Silambam Kebangsaan 2025 merebut Piala Tan Sri SA Vigneswaran yang akan berlangsung di Dewan Sri Karumariamman, Paya Besar, Lunas, Kedah pada 13 hingga 15 September ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Silambam Malaysia dengan kerjasama Maju Institute of Educational Development (MIED) serta Biro Sukan MIC Kebangsaan itu melibatkan 30 kategori merangkumi pelbagai peringkat umur dan berat badan.
Atlet berusia antara 16 hingga 30 tahun akan bertanding dalam disiplin Poruthal (berorientasikan sukan) dan kategori tradisional, dengan 30 pingat dipertaruhkan sepanjang tiga hari kejohanan.
Acara berprestij ini bukan sekadar pentas persaingan, malah bertujuan memperkukuh perpaduan atlet, mengangkat martabat seni mempertahankan diri tradisional Silambam serta memupuk semangat kesukanan.
Ia turut dijadikan platform pencarian bakat baharu untuk diserapkan ke dalam Skuad Kebangsaan Silambam Malaysia sebagai persediaan awal menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Ia juga menjadi medan pemilihan atlet untuk mewakili negara ke Kejohanan Seni Bela Diri Dunia anjuran United World Martial Arts Federation di Itali tahun depan.