34.1 juta penduduk, 38.7 juta kenderaan – punca penggunaan pengangkutan awam terus rendah

Kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih berada pada tahap rendah jika ingin dibandingkan dengan beberapa negara maju iaitu sekitar 25 peratus.
Ini kerana trend menggunakan kenderaan sendiri terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia yang melihat peningkatan jumlah kenderaan berdaftar malah melebihi jumlah penduduk negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia berdepan realiti kepadatan kenderaan dengan 38.7 juta kenderaan berdaftar sehingga akhir 2024.
Lebihan empat juta kenderaan berdaftar jika ingin dibandingkan dengan 34.1 juta populasi negara dan ia bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.
Kata Zahid, angka itu dijangka terus meningkat didorong jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) yang mencecah 816,747 unit, angka tertinggi dalam sejarah negara.
Beliau memberi contoh kadar penggunaan pengangkutan awam di negara jiran Singapura mencapai 67%, Seoul (63%) dan Tokyo (73%) yang mana Malaysia sendiri jauh ketinggalan.
Menurutnya, untuk mengubah keadaan itu memerlukan anjakan sikap yang hanya boleh dicapai melalui gabungan sistem boleh dipercayai dan kempen kesedaran menyeluruh.
Sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun desa.