4,500 premis terlibat program SARA, kerajaan sedia perluas jaringan

Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini melibatkan lebih 4,500 premis perniagaan, termasuk kedai runcit luar bandar, berbanding hanya sekitar 500 premis pada awal pelaksanaannya.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, angka itu dijangka terus meningkat apabila kerajaan membuka ruang kepada lebih banyak peniaga untuk menyertai program berkenaan.
Katanya, langkah ini bertujuan memperluas capaian dan memudahkan rakyat mendapatkan barangan asas yang ditawarkan melalui kredit SARA.
Peniaga hanya perlu mendaftar dengan Yayasan myKASIH dan mematuhi syarat ditetapkan.
Dalam masa sama, bilangan barangan yang boleh dibeli menggunakan kredit SARA turut ditambah kepada lebih 90,000 jenis, bagi memastikan pilihan yang lebih luas kepada pengguna.
Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat rakyat tempatan, memandangkan kelayakan penghargaan SARA adalah secara automatik, berdasarkan data semua warga dewasa yang memegang MyKad.