Pembekuan pekerja asing, anak tempatan enggan kerja – pengusaha restoran semakin ‘nazak’

Masalah kekurangan tenaga kerja asing terus menjadi cabaran besar kepada pemilik rangkaian restoran yang pada masa sama sukar untuk mencari pekerja tempatan.
Pengasas dan Pengarah Urusan India Gate Restaurant, Saravanan Subramaniam, memaklumkan, permohonan kebenaran kepada kerajaan bagi membawa masuk pekerja asing dalam sektor restoran telah dilakukan, namun masih tiada perkembangan diterima.
Katanya, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) telah membuat permohonan bagi menampung kekurangan 25,000 tenaga kerja dalam sektor restoran sejak tahun-tahun sebelum ini lagi.
Pada masa sama, Saravanan memaklumkan pihaknya turut cuba menggajikan pekerja tempatan dan menyediakan pelbagai inisiatif dengan peruntukan sendiri untuk melatih, menyediakan gaji yang berpatutan serta kemudahan tempat tinggal.
Namun, daripada 60 yang menghadiri orientasi tersebut pada empat bulan lepas, kini hanya tinggal seorang sahaja yang masih kekal bekerja dengannya.
Untuk itu, beliau mengakui bahawa pelbagai alternatif sudahpun diambil namun ia tetap tidak memenuhi keperluan mereka dalam mempunyai tenaga kerja yang secukupnya.
Saravanan menyuarakan juga kebimbangan sekiranya hal ini berlarutan, maka lebih banyak restoran terpaksa menutup operasi kerana ramai peniaga yang berhutang dengan pinjaman bank bagi meneruskan kelangsungan perniagaan dan tidak mampu untuk membayar kos-kos sedia ada.