Malaysia
5 Kedai Makan di Tumpat Diarah Tutup 14 Hari

TUMPAT: Lima premis makanan di daerah ini diarahkan tutup selama 14 hari bermula kelmarin selepas gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 susulan Operasi Bersepadu Premis Bersih yang dijalankan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
“Pemeriksaan melibatkan 61 premis makanan, dan lima daripadanya tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi tertumpu di sekitar Bandar Tumpat, jalan utama, serta kawasan berhampiran sempadan Thailand, yang menjadi lokasi tumpuan pengunjung.