57 warga Bangladesh antara 64 individu cuba masuk Malaysia guna dokumen palsu

Seramai 64 warga asing, termasuk 57 lelaki warganegara Bangladesh, ditahan dan dihalang memasuki negara selepas dipercayai cuba menipu syarat kemasukan ke Malaysia melalui dokumen palsu dalam satu operasi pemantauan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA Terminal 1, hari ini.
Operasi yang diketuai Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) turut melibatkan pemeriksaan ke atas 330 individu dari pelbagai negara. Selain warga Bangladesh, turut ditahan ialah lima lelaki warga India dan dua lelaki warga Pakistan.
Siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini. Malah, sebahagian cuba memperdaya pihak berkuasa dengan dokumen palsu seperti tempahan hotel tidak sah serta tiket penerbangan pulang yang tidak wujud.
Taktik yang digunakan termasuk berlegar-legar di balai ketibaan tanpa segera ke kaunter imigresen, bagi mengelak dikesan.
Menurut AKPS, pemantauan ini dilaksanakan selaras dengan Tatacara Kerja Piawai (ATKPI) dan arahan semasa bagi memastikan kawalan keselamatan sempadan berada pada tahap tertinggi.
Kesemua individu yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal.