Varian JN.1 penyumbang lonjakan kes COVID-19 di Asia termasuk Singapura, Thailand

Lonjakan kes COVID-19 kembali melanda Asia susulan penularan varian JN.1, menjadikan situasi semasa sebagai amaran awal kepada negara-negara di rantau ini.
Negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Hong Kong mencatatkan peningkatan ketara kes sejak awal Mei 2025, dengan Singapura melaporkan peningkatan sebanyak 28% berbanding minggu sebelumnya.
Hong Kong turut memaklumkan bahawa virus kini aktif semula di bandar tersebut, memaksa pihak berkuasa kesihatan menggesa penduduk mengambil dos penggalak baharu.
JN.1, yang berasal daripada keluarga Omicron, dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada peningkatan semula kes di Asia, termasuk sub-variannya seperti LF.7 dan NB.1.8 yang kini merebak dengan pantas.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa situasi dalam negara masih terkawal, dengan jumlah kemasukan hospital akibat COVID-19 terus menurun.
Setakat 20 Mei, Malaysia merekodkan lebih 11,000 kes sejak awal tahun, namun menunjukkan trend menurun.
Purata kemasukan ke hospital dalam tempoh 7 hari juga menurun kepada 37 kes berbanding 45 kes pada akhir April 2025.