675 pegawai perubatan letak jawatan tahun lepas – KKM

Sepanjang tahun lalu, seramai 675 pegawai perubatan tetap dan kontrak dilaporkan meletakkan jawatan, iaitu kira-kira 1.5 peratus daripada keseluruhan 43,709 jawatan pegawai perubatan yang diisi.
Daripada jumlah itu, 386 melibatkan pegawai tetap manakala 289 adalah kontrak.
Dalam tempoh sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik 7,373 pegawai perubatan baharu, terdiri daripada 4,057 lantikan tetap dan 3,316 kontrak.
Tahun ini pula, sebanyak 4,352 lagi lantikan baharu dirancang dengan 92 peratus daripadanya sudah ditawarkan kepada pegawai kontrak untuk diserap ke jawatan tetap.
Bagi memperkukuh sistem kesihatan negara, KKM memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk gaji permulaan lebih tinggi untuk pegawai perubatan siswazah, pelarasan gaji tahunan serta pelbagai elaun dan insentif seperti bayaran locum, insentif pakar dan elaun pembedahan elektif.