Cerita Malaysia; Lelaki Melayu menolong remaja India B40 untuk jana pendapatan dan belajar untuk SPM, dianggap anaknya sendiri
Kuala Lumpur, April 18 – Walaupun adakalanya sesuatu insiden diperalatkan oleh pihak tertentu untuk mengapikan sentimen perkauman, ramai rakyat Malaysia terus membuktikan perpaduan antara kaum masih kukuh dan berkembang.
Baru-baru ini satu posting viral di media sosial, dimana seorang lelaki Melayu yang memiliki bengkel kereta di Sungai Bakap, Pulai Pinang, berhati mulia membantu seorang pelajar India untuk terus belajar kerana pelajar tersebut lahir daripada keluarga yang kurang berada.
Lelaki tersebut dikenali sebagai Qasmi, yang kini memiliki bengkel kereta di Sungai Bakap, berkata pada mulanya, Munnis yang berusia 18 tahun meminta kepada beliau hendak bekerja di bengkelnya kerana pendapatan rumah yang tidak cukup untuk Munnis masuk tuisyen belajar untuk SPM.
Qasmi, juga bekas jurutera, turut mengajar Munnis untuk melakukan kerja rumahnya terutama dalam mata pelajaran Matematik di bengkel itu sendiri.
Katanya, beliau menganggap Munis sebagai anaknya sendiri dan hanya berniat untuk membantu Munis untuk terus belajar dan kerana itu, beliau menawarkan Munis untuk mempelajari kemahiran mekanik supaya dia dapat menjana pendapatan bagi meneruskan pelajarannya.
Sementara itu, ketika bertemu bual bersama Munnis, dia berkata dia berasa amat berterima kasih kepada Qasmi kerana sanggup memberi dia satu peluang untuk menjana pendapatan di bengkel itu sambil berpeluang untuk terus belajar.
Munnis memberitahu dia bercita-cita hendak menjadi seorang Polis. Katanya juga dia tidak akan melupakan budi Qasmi kepadanya apabila dia berjaya dalam kehidupannya nanti.