Lebih 6,000 kekosongan jawatan jururawat di KKM – Dzulkefly

Kuala Lumpur, Jun 26 – Lebih 6,000 kekosongan jawatan jururawat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 31 Mac lalu, membabitkan jawatan sedia ada dan pewujudan jawatan baharu berikutan naik taraf serta pembinaan fasiliti baharu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak KKM sedang melaksanakan proses pengambilan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memastikan bilangan jururawat mencukupi di fasiliti yang berkenaan.
Dzulkefly berkata demikian bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin mengenai tindakan KKM menangani peletakan jawatan jururawat yang dilaporkan kerana tidak puas hati dengan gaji rendah dan bagaimana kementerian mengisi jawatan kosong jururawat yang agak banyak.
Susulan itu, beliau berkata KKM tidak mengambil ringan perkara itu kerana ia boleh mengganggu kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Mengulas lanjut, kata masalah sama turut dihadapi fasiliti swasta berikutan terdapat juga petugas yang meletakkan jawatan untuk bekerja di fasiliti kesihatan yang lain di dalam atau luar negara.