Mahkamah Tinggi:Pekerja ladang dijatuhkan hukuman mati, membunuh adik sendiri
Kuala Lumpur, Jun 28 – Seorang pekerja ladang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini, kerana mendapati bersalah membunuh adik kandungnya di ladang kelapa sawit Linsum, Rantau, Negeri Sembilan pada 8 Jun 2020, lalu.
Hukuman itu dijatuhkan kepada K Paramasivam, berusia 49 tahun, kerana didakwa membunuh K Tanjong Tuan, empat tahun lalu.
Terdahulu media laporkan, peguam Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman penjara dan sebatan dikenakan atas alasan kejadian itu bukan dilakukan dengan niat dan tertuduh tiada perancangan membunuh mangsa.
Bagaimanapun, menurut sumber media tempatan, Timbalan Pendakwa Raya Ala’uddin Baharom meminta hukuman mati dijatuhkan kepada Paramasivam dengan mengambil kira mangsa merupakan adik kandungnya selain perbuatan tersebut merupakan jenayah terancang dan kejam berdasarkan kecederaan dialami mangsa.
“Terdapat 13 kecederaan termasuk 12 kecederaan kelar dan satu lelasan termasuk di leher, belakang badan dan dada mangsa dan senjata tajam digunakan dan dibawa ke ladang tersebut, ini menunjukkan persediaan dilakukan…mangsa juga dibiarkan di tempat kejadian sehingga dijumpai orang awam dalam keadaan berulat,” kata beliau.
Susulan itu, difahamkan, seramai 21 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 3 April tahun lalu.