Kuala Lumpur, Julai 17 – Sebanyak 1,100 buah buku diberi sumbangan kepada 25 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Kedah bagi menambah bilangan koleksi bahan bacaan serta meningkatkan kesedaran, minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif ini dilakukan oleh Kementerian Perpaduaan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara (PNM) dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia dan Persatuan Penulis Tamil Iyal Malaysia.
Senator Saraswathy Kandasamy ketika hadir untuk Majlis Sumbangan Buku kepada Sekolah Jenis Tamil dan Pelancaran Bank Buku Program ‘Dariku Untukmu’ di Perpustakaan Negara Malaysia hari ini berkata satu bank buku akan diwujudkan di semua perpustakaan awam negeri supaya semua pihak boleh menyumbang buku-buku yang masih boleh digunakan dan sesuai untuk bacaan pelajar.
Tambah beliau, bank buku ini akan dibuka sehingga 31 Ogos ini di beberapa negeri seperti Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor,Melaka, Johor dan juga di Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur bagi memudahkan orang ramai menyerahkan sumbangan mereka di lokasi berkenaan.
Mengulas lanjut, Saraswathy turut berkata pihaknya berharap semua lapisan masyarakat dapat bersama-sama terlibat menjayakan program ini supaya dapat mempertingkatkan budaya membaca sebagaimana yang dihasratkan dalam Dekad Membaca Kebangsaan 2030.