Kes bunuh cikgu Istiqomah: Suspek dituduh bunuh di Mahkamah Majistret Alor Gajah
Kuala Lumpur, Ogos 19 – Bekas guru Mohd Fadzly Ariffadzilah dituduh bunuh Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi, yang berusia 33 tahun, di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi tadi.
Suspek berusia 37 tahun, yang juga kenalan Istiqomah ketika bersama-sama melanjutkan pengajian di maktab perguruan itu dibawa dengan kenderaan polis ke kompleks mahkamah pagi tadi dengan tangan bergari dan berpakaian baju-T warna biru serta seluar pendek warna coklat, sambil dikawal rapi polis.
Terdahulu, media lapor, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashar Abu Samah berkata hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mayat ditemui.
Siasatan lanjut polis menahan suspek lelaki berusia 37 tahun di Chemor, Perak pada 5 Ogos lalu selepas disyaki terbabit dalam jenayah itu.
Katanya lagi, hasil siasatan lanjut dan soal tanya terhadap suspek membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat ditemui.