JPJ:Sekurang-kurangnya 9,000 notis saman dikeluarkan menerusi Op Khas Kenderaan Perdagangan
Kuala Lumpur, Oct 5 – Sekurang-kurangnya 9,000 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan, menerusi Op Khas Kenderaan Perdagangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama tiga hari sejak Selasa lalu di seluruh negara.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata operasi itu dilakukan susulan peningkatan kes kemalangan maut membabitkan lori kebelakangan ini dan mengesan kenderaan perdagangan yang melakukan kesalahan terutamanya melebihi muatan.
Katanya Op Khas juga diadakan untuk memastikan pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan mematuhi peraturan ditetapkan mengikut undang-undang Malaysia.
Aedy Fadly turut berkata operasi ini dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dimana sebanyak 38 pemandu telah diambil saringan air kencing dengan tujuh daripada mereka didapati positif dadah.
Susulan itu, beliau menegas supaya semua pemandu kenderaan perdagangan sentiasa bertanggungjawab dan mematuhi semua peraturan ditetapkan demi keselamatan semua.