Cuti hujung minggu Johor akan ditukar Sabtu, Ahad, mulai 1 Januari tahun depan

Kuala Lumpur, Oct 7 – Cuti hujung minggu Johor bakal ditukar kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari tahun depan.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).
“Selepas mendapat perkenan dan restu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada JAINJ, saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Jan 2025, cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad.
“Saya juga menitahkan agar Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek,” titah baginda menerusi satu hantaran Facebook rasmi Tunku Mahkota Ismail.
Baginda bertitah agar pihak kerajaan dan swasta akan memberikan masa dan ruang yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.