93 Pendatang Asing Tanpa Izin Ditahan di Apartmen PKNS Ampang
Sebanyak 93 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi di apartmen PKNS, Taman Dagang, Ampang Jaya, awal pagi semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu melibatkan 162 pegawai imigresen dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Mereka yang ditahan berumur antara empat bulan hingga 55 tahun dan berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal, dan Pakistan.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap 189 individu selepas menerima aduan awam mengenai kehadiran PATI di kawasan itu. Ada yang cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan di kompleks apartmen yang kebanyakannya didiami warga asing,” katanya.
Kesemua mereka disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. PATI yang ditahan telah dihantar ke depot imigresen untuk siasatan lanjut.