Pensyarah Universiti Rugi RM115,600 Ditipu Sindiket Pekerjaan Palsu

Seorang pensyarah universiti awam kerugian RM115,600 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan palsu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa, lelaki berusia 44 tahun, tertarik dengan tawaran kerja pada 7 Mei lalu yang menjanjikan keuntungan 15%. Namun, mangsa diminta membeli barangan melalui laman sesawang sebagai syarat untuk mendapat keuntungan tersebut.
Antara Mei hingga September, mangsa memasukkan wang secara berperingkat ke dalam enam akaun berbeza. Mangsa kemudian menyedari ditipu apabila laman sesawang itu tidak lagi boleh diakses dan wang yang dijanjikan tidak diterima.
Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sri Gading pada Khamis lalu. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.