12 Pelajar UMT Ditahan Kerana Kes Pukul Rakan Sekuliah
Polis menahan 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) susulan kes pukul melibatkan seorang rakan mereka di asrama universiti pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Wan Zaki Wan Ismail, berkata laporan diterima daripada seorang lelaki yang mendakwa anak lelakinya berusia 20 tahun telah dipukul antara jam 1 hingga 5 pagi.
“Mangsa memaklumkan kejadian kepada bapanya melalui telefon dan menghantar gambar kecederaan pada jam 10.50 malam. Bapanya kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah pada Isnin, di mana mangsa disahkan mengalami lebam serta kecederaan dalaman akibat hentakan objek tumpul,” katanya.
Semua 12 suspek, berusia antara 20 hingga 22 tahun, direman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Polis turut merampas senjata yang digunakan.
Sementara itu, pihak UMT mengesahkan telah membuat laporan polis dan menjalankan siasatan dalaman. Universiti menegaskan komitmen untuk menjaga keselamatan pelajar dan tidak akan berkompromi dalam isu disiplin.