7 maut & 33 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya PLUS berdekatan Alor Gajah

ALOR GAJAH: Tujuh individu maut dan 33 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas persiaran dengan 27 penumpang, sebuah treler, dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.
Pengarah JBPM Melaka, Mohd Pisar Aziz, memaklumkan bahawa mangsa yang terkorban termasuk tiga lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, serta seorang bayi perempuan.
“Bayi tersebut merupakan salah seorang daripada lima penumpang MPV yang terkorban dalam kemalangan ini, sementara dua lagi mangsa ialah pemandu dan seorang penumpang bas persiaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian tengah malam tadi.
Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan seramai 40 mangsa, dengan tujuh yang disahkan meninggal dunia telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka. Seramai 33 lagi yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Melaka, Hospital Alor Gajah, dan Hospital Pantai Ayer Keroh untuk menerima rawatan.
Tinjauan di lokasi menunjukkan MPV yang membawa lapan penumpang remuk teruk akibat dihimpit di antara bas persiaran dan treler.
Sementara itu, laluan dari Plaza Tol Ayer Keroh ke arah utara ditutup sepenuhnya dan trafik dilencongkan. Kes kemalangan ini juga menyebabkan kesesakan lebih empat jam di laluan arah selatan berikutan lorong tengah dan kanan ditutup.