Pasangan Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM2.4 Juta di Iskandar Puteri

Polis menahan sepasang kekasih berusia 31 dan 33 tahun bersama dadah bernilai RM2.4 juta dalam kereta mereka yang diparkir di tepi jalan di Taman Mutiara Rini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata pasangan itu dipercayai ahli sindiket dadah yang menggunakan kenderaan sebagai stor bergerak untuk menyimpan dan mengedar dadah.
“Ketika serbuan, polis menemui pelbagai jenis dadah di dalam but kereta tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Johor.
Rampasan termasuk serbuk ekstasi, ketamin, methamphetamine dan 51 pil ekstasi. Nilai keseluruhan dadah cukup untuk 72,195 pengguna.
Siasatan mendapati kedua-dua suspek positif dadah, serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Pasangan itu direman selama tujuh hari sehingga 3 Januari 2025 untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.