Geng Serang Dua Individu Dalam Rumah di Batu 14 Puchong; 6 Ditahan

Puchong, 27 Januari – Enam daripada 11 anggota geng yang menyerang dua individu di sebuah rumah di kawasan Kampung Bunga Melur, Batu 14, Puchong pada malam 25 Januari lalu telah berjaya ditahan.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 11.30 malam, geng berkenaan tiba dengan memakai topeng muka dan menaiki tiga kereta. Mereka memasuki rumah tersebut dengan membawa parang dan menyerang dua mangsa.
Mangsa pertama mengalami kecederaan di bahu, manakala mangsa kedua cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk tangan, kaki, dan kawasan lain.
Dalam insiden itu, kumpulan penjenayah tersebut turut mencuri telefon Honor X9, sebuah kereta Mazda, dan kunci rumah.
Susulan kejadian itu, pada pukul 8 malam semalam, pasukan polis dari JSJ D7 IPK Selangor yang diketuai oleh ASP Ragunath, bersama Insp. Norishamuddin dan pasukan D9 IPD Subang Jaya, melancarkan serbuan di V3 Cafe & KTV, Seri Kembangan. Dalam operasi itu, enam individu telah ditangkap.
Siasatan awal mendedahkan bahawa suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan kes berkaitan dadah.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk menangkap baki suspek dan menentukan motif serangan tersebut.