Malaysia Tidak Akan Berdiam Diri Terhadap Kezaliman – Setiausaha Politik PM

Kuala Lumpur, 1 Feb – Malaysia tidak akan menjadi sekadar penonton terhadap kezaliman global, termasuk isu Palestin, tegas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau menolak pandangan bahawa Malaysia harus mengutamakan rakyat sendiri dan tidak perlu campur tangan dalam isu sejauh 7,600km. Menurutnya, logik sedemikian akan bermakna Malaysia tidak sepatutnya menentang apartheid di Afrika Selatan atau membantu Bosnia dalam tragedi Srebrenica dahulu.
“Malaysia bukan sekadar bersolidariti, tetapi juga bertindak sewaktu tragedi Bosnia dengan menghantar pasukan pengaman dan bantuan ketenteraan. Mengapa kini kita perlu berdiam diri terhadap Palestin?” katanya.
Beliau turut memetik kata-kata Nelson Mandela bahawa kebebasan tidak akan lengkap selagi rakyat Palestin terus ditindas, serta pemikir Edward Said yang menegaskan bahawa kezaliman yang tidak disanggah akan berulang dengan lebih dahsyat.
Muhammad Kamil juga menyanggah hujah bahawa membantu Palestin bermakna mengabaikan rakyat Malaysia, menyifatkannya sebagai alasan lemah. “Kita telah lama menentang penindasan, dan kita tidak akan berhenti hanya kerana ada yang berasa ‘terlalu jauh’ untuk peduli,” tegasnya.