‘Saya masih isterinya,’ kata Rosmah nafi dakwaan cerai dengan Najib

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menafikan dakwaan mengenai status perkahwinannya yang disebarkan melalui akaun Facebook palsu yang menyamar sebagai dirinya, sambil menegaskan bahawa beliau masih isteri yang sah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu hantaran di Facebook, Rosmah menolak dakwaan palsu itu dan menjelaskan bahawa akaun yang menyebarkan maklumat tidak benar tersebut bukan miliknya.
“Sila ambil maklum bahawa akaun Facebook ‘Rosmah Binti Mansor’ bukan milik saya.
Saya masih isteri Datuk Seri Najib Razak. Jangan sebarkan maklumat palsu,” tulisnya pada Isnin.
Rosmah turut berkongsi tangkapan skrin akaun palsu itu bagi memberi amaran kepada pengikutnya.
Beliau turut menegaskan bahawa beliau hanya mempunyai satu akaun Facebook rasmi dan satu akaun TikTok rasmi.