Wanita ‘penyamar tetamu’ majlis kahwin, rakan pemandu teksi ditahan dalam kes curi RM2,500

PASIR MAS: Seorang wanita dengan 10 rekod jenayah lampau yang menyamar sebagai tetamu majlis perkahwinan dan mencuri RM2,500 dari rumah tuan majlis baru-baru ini telah ditahan hari ini.
Wanita berusia 61 tahun itu bersama seorang pemandu teksi berusia 62 tahun ditangkap di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, mereka ditahan ketika menaiki teksi kira-kira jam 5 petang.
“Sebelum itu, pasukan polis mengesan sebuah kenderaan mencurigakan di Jalan Sri Bharu, Kota Bharu pada jam 2.35 petang.
“Polis mengekori kenderaan itu dan mengarahkannya berhenti di Jalan Sri Cemerlang.
“Hasil pemeriksaan, polis menahan wanita itu yang berasal dari Jalan Dusun Muda, Kota Bharu.
“Dia mempunyai 10 rekod jenayah lampau di Kelantan, Terengganu, dan Perak,” katanya dalam satu kenyataan.
Kama Azural berkata, pemandu teksi lelaki berkenaan adalah rakan wanita itu.