Malaysia
DBKL Tutup Gerai Haram, Tahan 35 Warga Asing di Wangsa Maju

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup beberapa gerai haram dalam Operasi Gasak di Bazaria Wangsa Maju.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan bahawa enam peniaga tanpa lesen dikenakan kompaun, manakala 35 warga asing ditahan, termasuk seorang warga Myanmar dan 34 warga Indonesia. Dua trak makanan milik warga asing turut ditunda.
Operasi ini melibatkan DBKL, polis, Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). KPDN turut mengeluarkan tiga notis kompaun atas kesalahan berkaitan pelanggaran peraturan perniagaan.
DBKL menegaskan Operasi Gasak akan diteruskan bagi memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, teratur, dan selamat.