Era FM terselamat dari digantung, hanya dikompaun RM250,000

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memutuskan untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali ERA FM, selepas meneliti rayuan syarikat itu terhadap notis penggantungan yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.
Bagaimanapun, MCMC mengenakan kompaun RM250,000 terhadap Maestra Broadcast selepas stesen itu didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok ERA FM.
Keputusan ini turut mengambil kira tindakan susulan, permohonan maaf, serta kesan penggantungan yang boleh menjejaskan Melody dan Mix FM, yang beroperasi di bawah lesen yang sama.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius penyebaran kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama serta mengingatkan semua pengendali media untuk lebih bertanggungjawab.
Jabatan Peguam Negara telah memberikan izin untuk pengeluaran kompaun tersebut, menjadikan ini satu peringatan keras kepada semua platform media supaya lebih berwaspada dalam penyiaran kandungan mereka.