Suntikan RM1.1 bilion diterima Sapura Energy perlu dibayar balik – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa suntikan RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukanlah ‘bailout’ tetapi pinjaman yang perlu dibayar balik.
Dana ini bertujuan memastikan pembayaran kepada 2,000 vendor minyak dan gas, bukan untuk menyelamatkan pemegang saham atau pengurusan lama.
SEB kini dikendalikan oleh pasukan baharu yang lebih profesional.
Menurutnya, audit dan ‘due diligence’ telah dijalankan, dan dapatan akan dikongsi kepada agensi berkaitan.
Tambah Anwar, kerajaan tidak boleh membiarkan SEB bankrap kerana ia akan menjejaskan ekosistem vendor Bumiputera dan memberi kelebihan kepada syarikat asing.
Sapura Energy sebelum ini mengumumkan telah menerima pelaburan RM1.1 bilion daripada syarikat tujuan khas Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH), yang akan digunakan hanya untuk membayar hutang kepada vendor.