ERNIE Bot saingan baharu DeepSeek, sama hebat tapi lagi murah

Syarikat teknologi China, Baidu, mengumumkan pelancaran dua model kecerdasan buatan (AI) baharu pada Ahad yang dikatakan menawarkan prestasi setanding chatbot China, DeepSeek, tetapi pada separuh kos.
Menurut Baidu, model Ernie X1 direka untuk pemikiran logik, manakala Ernie 4.5 berfungsi sebagai model asas. Kedua-duanya boleh diakses secara percuma oleh pengguna individu menerusi platform ERNIE Bot.
Baidu merancang untuk mengintegrasikan model baharu ini secara berperingkat ke dalam ekosistem produknya, termasuk enjin carian Baidu, aplikasi Wenxiaoyan dan beberapa perkhidmatan lain.
Awal tahun ini, syarikat pemula DeepSeek menarik perhatian ramai apabila mendakwa chatbotnya mampu menyaingi ChatGPT keluaran OpenAI dari Amerika Syarikat dengan kos yang jauh lebih rendah.
Perkembangan itu menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran saham Amerika Syarikat, apabila para pelabur mula mempertikaikan kecekapan syarikat teknologi negara itu.