Malaysia
800 jalan berlubang di Johor akibat banjir dibaik pulih

Kerajaan Johor menyasarkan pembaikan 800 lubang jalan akibat banjir di lima daerah selesai selewat-lewatnya hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata 500 lubang dikesan di daerah ini, manakala baki 300 di Kulai, Pontian, Kota Tinggi, dan Kluang.
Katanya, kerja pembaikan dijalankan sejak malam Sabtu dan dijangka siap dalam dua hari, bergantung pada cuaca.
Beliau memaklumkan bahawa jalan rosak melibatkan retakan, mendapan, dan lubang yang membahayakan pengguna.
Konsesi di lima daerah telah diarahkan untuk menjalankan pembaikan segera dengan kos keseluruhan RM560,000.