Anwar tetap hadir majlis pecah tanah masjid Jakel di tapak kuil

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau akan tetap hadir ke majlis pecah tanah bagi pembinaan masjid oleh Jakel Trading Sdn Bhd pada 27 Mac ini.
Menurut Anwar, keperluan mendesak terhadap sebuah masjid baharu di kawasan Masjid India menjadi sebab utama projek itu diteruskan memandangkan masjid-masjid sedia ada di kawasan tersebut kini sesak dan tidak mencukupi untuk menampung jemaah.
“Ruang solat dan masjid di situ sudah padat. Maka kita perlukan tempat baharu” katanya kepada media sempena Sambutan Hari Polis ke-218 pada Selasa.
Majlis itu dijadual berlangsung pada Khamis ini, di tengah-tengah perdebatan awam berhubung pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang dikatakan terletak di atas tanah milik Jakel dan didakwa sebagai struktur tanpa kebenaran.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini mengesahkan bahawa kuil berkenaan akan dipindahkan ke lokasi lain yang dipersetujui semua pihak, susulan cadangan pemilik tanah, Jakel Trading Sdn Bhd, untuk membina masjid di tapak tersebut.