Nama Muhammad, Abdullah, Nur dan Siti kembali jadi pilihan utama

Nama seperti Muhammad, Abdullah, Abdul, Nur, Siti, dan Nurul kekal sebagai pilihan utama dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, menjelaskan bahawa nama-nama ini melambangkan identiti Islam dan budaya Melayu, sering digabungkan dengan nama kedua yang bermakna indah dan positif.
Ibu bapa kini cenderung memilih nama yang mudah disebut, diingat, dan mempunyai maksud baik, termasuk nama berunsur Islamik dan Arab seperti Aisyah, Maryam, dan Rayyan.
Selain itu, terdapat perubahan dalam ejaan, di mana nama klasik seperti Amir menjadi Ameer atau Zahra menjadi Zara bagi memberikan sentuhan moden.
Dalam rekod JPN, nama terpanjang mengandungi 15 patah perkataan, manakala yang paling pendek hanya dua abjad.
Badrul Hisham turut menasihatkan ibu bapa agar merujuk kepada JPN sebelum mendaftarkan nama anak bagi mengelakkan kekeliruan.