Dua anjing Rottweiler serang lima penduduk bakal dilupuskan

Pemilik dua anjing Rottweiler yang menyerang lima individu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, pada Selasa, bersetuju untuk melupuskan haiwan tersebut dengan kaedah ditidurkan.
Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahya, memaklumkan bahawa anjing-anjing itu telah diserahkan kepada Pejabat Veterinar Baling untuk tindakan lanjut.
Pemiliknya juga dikenakan dua kompaun oleh Majlis Daerah Baling atas kesalahan membela anjing tanpa lesen.
Serangan yang berlaku sekitar 4.30 pagi menyebabkan lima individu cedera, termasuk seorang wanita yang mengalami kecederaan serius di kepala dan perlu menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Serangan berlaku di empat lokasi dalam kawasan perumahan itu dalam tempoh dua jam selepas anjing-anjing tersebut terlepas dari sangkar pemiliknya.