Pelajar UniMAP sengsara tanpa air, terpaksa mandi di stesen minyak sehingga dihalau

Masalah gangguan bekalan air di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), khususnya di Kompleks Perumahan UniCITI Alam (KPUA), Kampus Sungai Chuchuh, bukanlah isu baharu.
Walaupun sejak dua minggu lalu perkara ini tular di media sosial, hakikatnya penderitaan pelajar sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Pelajar Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Amilya Lipi, berkongsi pengalaman perit apabila terpaksa berbelanja lebih untuk membeli air, menyewa kenderaan dan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk mendapatkan bekalan air dari stesen minyak — yang akhirnya turut menghalau mereka.
“Mula-mula hanya blok saya yang tiada air, lepas tu bergilir-gilir blok lain pula. Ada yang sampai lima hari berturut-turut tanpa air. Panas, tak selesa, terpaksa mandi di stesen minyak. Duit pun habis untuk beli air, sewa kereta, Grab… masa tu tiada bantuan pun,” katanya.
Keadaan bertambah sukar apabila pinjaman PTPTN yang dinantikan masih belum dikreditkan ke akaun pelajar, menyebabkan Amilya terpaksa menumpang di rumah rakan buat sementara waktu.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP Sesi 2024/2025, Muhammad Syamil Ramlan, berkata hampir 50 peratus pelajar memilih untuk pulang ke rumah masing-masing dan mengikuti kelas secara dalam talian kerana tidak tahan dengan situasi tersebut.
“Sekarang air dah mula disalurkan semula, tapi saya bimbang bila pelajar pulang beramai-ramai, tekanan air akan kembali rendah. Masalah ini berulang, dan pelajar semakin penat,” katanya.
Laporan media menyatakan punca utama gangguan air adalah kebocoran saluran paip utama berhampiran kawasan kampus. Walau bagaimanapun, pelajar berharap pihak berwajib tampil dengan penyelesaian jangka panjang agar tidak terus hidup dalam keadaan tidak selesa.