Keadilan pantas untuk hina PM, tapi kes seperti Zamri terbiar – Zaid

Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan ketidakseimbangan dalam sistem keadilan negara, apabila kes menghina Perdana Menteri diselesaikan dengan pantas, namun kes-kes lain seperti yang melibatkan pendakwah bebas Zamri Vinoth masih tiada tindakan.
Beliau merujuk kepada kenyataan polis bahawa hampir 900 laporan dibuat terhadap Zamri selepas beliau menyamakan pembawa kavadi ketika Thaipusam dengan individu mabuk atau dirasuk. Namun, katanya, siasatan masih belum dikemukakan kepada Peguam Negara.
Sebaliknya, dalam kes seorang atendan stesen minyak di Kelantan yang memuat naik video dikatakan menghina PM Anwar Ibrahim, tindakan undang-undang diambil hanya beberapa hari selepas tangkapan.
“Kita lihat kerajaan begitu pantas bertindak terhadap individu biasa, tetapi mendiamkan diri apabila kes itu berpotensi jejaskan kedudukan politik,” kata Zaid.
Beliau turut menyarankan agar pemuda berkenaan mencabar pertuduhan itu di mahkamah dan menegaskan bahawa kritikan tidak seharusnya dianggap sebagai jenayah.
Zaid menyifatkan gaya kepimpinan kerajaan semakin menjauh daripada semangat reformasi yang dijanjikan.