Nik Nazmi, Akmal Nasir tumbang dalam pemilihan cabang PKR

Dua pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir, gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang masing-masing dalam pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini.
Di Setiawangsa, Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, tewas kepada pelakon dan pengarah, Afdlin Shauki.
Keputusan rasmi di laman PKR menunjukkan Afdlin meraih 631 undi, berbanding 563 undi yang diterima Nik Nazmi. Sebanyak 1,207 undi dikeluarkan daripada 1,640 ahli yang layak mengundi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir turut kecundang dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Beliau tewas kepada Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail yang memperoleh 709 undi, berbanding 587 undi yang diterima Akmal.
Kekalahan kedua-dua pemimpin ini mengejutkan banyak pihak kerana mereka sering dilihat sebagai antara wajah muda utama dalam barisanĀ kepimpinanĀ PKR.