Anjing K9, ‘hydration point’ antara SOP baharu anjur konsert EDM – KBS

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menempatkan anjing pengesan (K9) di lokasi konsert sebagai langkah baharu kawalan keselamatan, khususnya bagi acara melibatkan genre muzik Electronic Dance Music (EDM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memaklumkan penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu adalah sebahagian daripada usaha segera kerajaan untuk menangani isu penggunaan dadah dalam kalangan belia dan mencegah insiden kematian di acara hiburan.
Selain penempatan unit K9, antara langkah lain yang akan dilaksanakan termasuk penyediaan hydration point bagi mengelakkan dehidrasi, pasukan perubatan khas, serta hospital bersiap siaga sepanjang berlangsungnya konsert.
KBS juga akan menyediakan bahan kesedaran seperti poster dan video mesej mengenai bahaya dadah, di samping melarang aktiviti merokok dan vape di kawasan fasiliti sukan bawah kementerian termasuk di Kuala Lumpur Sports City dan Sepang International Circuit.