Jalur Gemilang tersilap lagi, kali ini Kementerian Pendidikan pula terlibat

Satu lagi insiden melibatkan kesilapan pada Jalur Gemilang telah berlaku di negara ini, dan kali ini, Kementerian Pendidikan sendiri menjadi perhatian.
Kesilapan tersebut dikesan dalam laporan analisis keputusan SPM 2024 yang dikeluarkan hari ini.
Kementerian telah mengesahkan perkara itu dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia. Mereka juga mengakui bahawa sebagai simbol kedaulatan negara, bendera kebangsaan tidak sepatutnya disalahgunakan dalam apa jua keadaan.
Tindakan serta-merta telah diambil terhadap individu yang bertanggungjawab, dan siasatan dalaman sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden ini.
Kementerian turut mengarahkan agar semua laporan yang mengandungi bendera Jalur Gemilang yang salah dikembalikan dan diperbetulkan dengan segera.
Untuk rekod, sebelum ini dua akhbar berbahasa Cina dan sebuah syarikat dari Singapura yang terlibat dalam pameran di Malaysia turut menerima kecaman kerana memaparkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit.