Saravanan optimis BN raih sokongan penuh pengundi India pada PRK Ayer Kuning

Barisan Nasional (BN) menyatakan keyakinan bahawa majoriti komuniti India di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kini berpihak kepada parti itu menjelang PIlihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu ini.
Jelas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tapah, Datuk Seri M. Saravanan, gabungan parti itu kini perlu meletakkan fokus bagi menambat hati kira-kira 300 pengundi kelabu dan 700 lebih pengundi yang masih belum menyatakan pendirian.
Beliau dalam satu acara menyantuni penduduk setempat di Air Kuning turut memaklumkan bahawa pihak MIC sedang berhubung dengan pengundi luar bagi memastikan peratusan pengundi India menghampiri 100 peratus.
Sebagai rekod, PRK Dun Ayer Kuning melibatkan 18,144 pengundi berbangsa Melayu, 6,747 pengundi Cina, 4,609 (India), 2,156 (Orang Asli) dan 285 melibatkan lain-lain, sekali gus menjadikan 31,941 jumlah keseluruhan pengundi biasa.
Timbalan Presiden MIC itu pada masa sama menjelaskan kekuatan masyarakat India tempatan di situ sudah memberi gambaran jelas bahawa calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir bakal dipilih sebagai wakil rakyat.
PRK Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
PRK yang bakal berlangsung pada 26 April itu merupakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas.