Azalina Othman antara wakil Malaysia hadiri istiadat pengebumian Pope Francis

Istiadat Pengebumian Negara bagi mendiang Pope Francis yang akan diadakan pada Sabtu di Vatican City akan dihadiri oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Pengumuman mereka yang mewakili Kerajaan Malaysia pada istiadat yang berlangsung pada Sabtu itu diumumkan oleh Wisma Putra menerusi satu kenyataan media.
Istiadat pengebumian Negara berkenaan termasuk mengadakan upacara keagamaan berdasarkan adat Roman Katolik (Misa Pengebumian) di St. Peter’s Square, Vatican City yang akan dipimpin oleh Giovanni Battista Re, Ketua Kolej Kardinal.
Setelah itu, satu istiadat perarakan akan diadakan bagi mengiringi jenazah Pope Francis ke Basilika Santa Maria Maggiore, di mana beliau akan disemadikan dalam satu upacara tertutup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Pope Francis pada 21 April lalu.