Saintis cipta warna baharu tak pernah dilihat manusia

Sekumpulan saintis dari Universiti California, Berkeley berjaya mencipta satu warna baharu yang tidak pernah dilihat oleh manusia secara semula jadi dan mereka menamakannya sebagai Olo.
Warna ini digambarkan sebagai campuran biru-hijau terang yang begitu unik sehingga tiada rujukan semula jadi untuknya di dunia ini.
Penemuan luar biasa ini dicapai melalui teknologi pancaran laser canggih yang merangsang sel kon tertentu dalam retina mata manusia.
Dengan hanya mengaktifkan sel kon M yang bertindak balas terhadap warna hijau, para peserta dalam kajian ini buat pertama kalinya dapat melihat warna yang tidak wujud dalam spektrum biasa penglihatan manusia.
Biasanya, mata manusia melihat warna melalui gabungan tiga jenis sel kon — L (merah), M (hijau), dan S (biru).
Namun dalam eksperimen ini, saintis mengasingkan rangsangan kepada satu jenis sel sahaja, lalu mencetuskan penglihatan terhadap warna yang ‘tidak sepatutnya’ boleh dilihat.