Tourism Malaysia sasar kutipan RM270 bilion tahun ini

Tourism Malaysia menyasarkan kutipan hasil pelancongan RM270 bilion dengan kehadiran 45 juta pelawat asing sepanjang tahun ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar, berkata sasaran tersebut dilihat mampu dicapai berdasarkan perkembangan positif setakat ini apabila negara merekodkan ketibaan 6.7 juta pelawat asing sehingga Februari lalu.
Jumlah ini mencatatkan peningkatan 31.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu serta peningkatan 14.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.
Pada 2024 sahaja, negara menerima kehadiran 38 juta pelawat asing iaitu lonjakan 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Shahrin, sebanyak 10 pasaran utama menyumbang jumlah ketibaan tertinggi ialah dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan.