Doktor curang dengan 4 wanita di tempat kerja, dua daripadanya hamil

Seorang doktor di hospital yang terletak di Beijing, dipecat selepas isterinya mendedahkan suaminya itu ada hubungan skandal dengan empat wanita di tempat kerja.
Menurut laporan Weibo, wanita bernama Gu itu mendakwa suaminya, Xiao Fei, menjalin hubungan sulit dengan beberapa rakan sekerja, termasuk seorang ketua jururawat dan seorang doktor pelatih.
Dua daripada wanita tersebut disahkan hamil, namun seorang mengalami keguguran manakala seorang lagi menggugurkan kandungan.
Hubungan sulit Xiao Fei yang bermula sejak awal 2019 pernah mencetuskan kontroversi apabila dia dilaporkan meninggalkan pesakit yang dibius di bilik bedah selama 40 minit kerana bertengkar dengan jururawat lain yang memarahi kekasihnya.
Insiden itu hampir mengakibatkan komplikasi serius kepada pesakit tersebut. Namun, Xiao membela diri dengan mengatakan dia berasa pening dan tangannya menggeletar ketika itu.
Susulan siasatan dalaman, dia kini dipecat serta-merta dan mendakwa kariernya sebagai pakar perubatan berakhir.