Malaysia

Seorang lagi ‘Tan Sri’ ditahan berkait skandal pelaburan MBI

Polis menahan seorang lagi individu bergelar “Tan Sri” kerana disyaki terlibat dalam skim pelaburan Ponzi MBI International Group, menjadikan ia tangkapan terbaru dalam siasatan berterusan terhadap sindiket berprofil tinggi itu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, DCP Hasbullah Ali, suspek berusia 53 tahun yang juga pengerusi sebuah syarikat hartanah di Pulau Pinang ditahan pada Khamis dan direman lima hari bagi membantu siasatan.

“Premis pejabat, kediaman serta dokumen berkaitan telah diserbu bagi mendapatkan bukti,” katanya kepada Bernama, sambil menambah bahawa tangkapan susulan tidak ditolak dan satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat.

Suspek dipercayai menjadi proksi atau rakan kongsi sindiket dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Tangkapan ini menyusuli operasi besar-besaran “Op Northern Star” yang dijalankan dari 18 hingga 21 April lalu, di mana lima individu termasuk seorang lagi “Tan Sri” dan seorang “Datuk Seri” ditahan di Lembah Klang dan utara tanah air.

Antara aset yang telah disita termasuk ladang durian bernilai RM223.62 juta, 299 akaun bank dibekukan dengan jumlah wang RM123.61 juta, 12 kenderaan mewah, jam tangan eksklusif, lima telefon bimbit, serta pelbagai dokumen penting.

Turut dirampas dalam siri serbuan itu ialah kilang proses kelapa sawit, sebuah hotel — menjadikan jumlah keseluruhan rampasan daripada kedua-dua operasi mencecah RM3.51 bilion.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker