Penjara Machang mampu tampung 1,560 banduan tapi 3,184 yang menghuni

Penjara Machang, Kelantan kini mencatat kadar kesesakan tertinggi di negara ini apabila menempatkan lebih dua kali ganda jumlah banduan daripada kapasiti asal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjara tersebut hanya mampu menampung 1,560 banduan, namun kini dihuni seramai 3,184 orang.
Semua banduan di Penjara Machang adalah kes sabitan dan 80 peratus daripadanya melibatkan kesalahan berkaitan dadah.
Negara mempunyai 43 buah penjara dan Penjara Machang adalah yang paling sesak. Penjara Pengkalan Chepa juga berdepan situasi sama apabila menempatkan 2,977 banduan berbanding kapasiti asal hanya 1,500 orang.
Daripada jumlah itu, 65 peratus merupakan banduan kes berkaitan dadah sama ada reman atau sabitan.
Menurut beliau, situasi itu mencerminkan betapa seriusnya masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Kelantan yang bukan lagi sekadar isu sosial, malah sudah menjadi ancaman keselamatan negara.