Video treler GTA 6 dapat 82 juta tontonan, peminat perlu tunggu setahun lagi

Di saat peminat masih kecewa dengan penangguhan Grand Theft Auto 6 (GTA 6) ke Mei 2026, Rockstar Games mengubat kekecewaan itu dengan kejutan treler baharu pada Rabu.
Video treler yang berdurasi 2 minit 47 saat itu jelas mencerminkan keterujaan peminat permainan video tersebut apabila ia mendapat jumlah tontonan sehingga 87 juta dalam masa 24 jam.
Selepas keluaran GTA 5 pada 12 tahun lepas, ia menjadi sekuel permainan video paling ditunggu dalam sejarah apabila ramai mengharapkan ia dilancarkan pada pertengahan tahun ini.
Ia membawa perjalanan cerita yang diinspirasikan dari Florida tentang dua watak utama, Jason dan Lucia, pasangan kekasih yang terjerumus dalam dunia jenayah.
GTA 5 sebelum ini telah menjual sejumlah 210 juta salinan sejak 2013 dan meskipun ramai yang mempertikaikan penangguhan pelancarannya, Rockstar menegaskan ia bagi memastikan produk akhir mencapai tahap kualiti yang dijanjikan dan diharapkan peminat.