Lelaki miliki 16,000 gambar wanita ditahan intai, rakam individu dalam tandas

Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an selepas disyaki mengintai dan merakam seorang wanita dalam tandas sebuah restoran di Bandar Putra, Segamat, pada 4 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.38 malam ketika mangsa sedang menggunakan tandas dan menyedari ada pergerakan mencurigakan.
Mangsa kemudian melihat sebuah telefon bimbit dipercayai sedang merakam sebelum segera keluar dari tandas dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Suspek berjaya ditahan pada 9 Mei lalu dan hasil pemeriksaan mendapati telefon bimbitnya mengandungi kira-kira 16,000 gambar wanita serta dua video rakaman dalam tandas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D dan 292 Kanun Keseksaan.